Ad Code

Responsive Advertisement

GURU dan LILIN

Memandangkan lirik lagu BIARKU MENJADI LILIN dalam entri HARI GURU 16 MEI 2008 mengundang pelbagai spelukasi, maka di sini, menurut pandangan peribadi sendiri tentang ungkapan GURU UMPAMA LILIN. Ini hanya pandangan, ia boleh nak diterima atau disanggah, terpulanglah kepada pembaca semua. Yang penting, apa yang ditulis ini, tidak menghina sesiapa, tidak memperlekehkan sesiapa dan tidak merendahkan martabatkan sesiapa.

Prolog

Kita tidak dapat menidakkan sifat lilin, dian, pelita atau obor yang menerangi sesuatu dengan membiarkan dirinya hangus dan rentung. Kerana sifatnya yang begitu maka dikatakan bahawa lilin (dan sebagainya itu) mengorbankan diri sendiri demi kepentingan pihak lain. Sifat yang sedemikian itu kerap disamakan dengan sifat yang ada pada golongan guru. Oleh itu, maka timbullah ungkapan guru umpama lilin.. guru umpama pelita.. umpama dian.. obor ..dan sebagainya. Persepsi ini sudah lama bersarang dalam mentaliti masyarakat sehingga guru dengan lilin dianggap sinonim. Ungkapan itu juga sudah diterima sebagai unsur klise sekiranya dimasukkan ke dalam baris-baris sajak. Walau bagaimanapun, ungkapan ini diterima sebagai elemen retorik daripada seorang penyair yang berusaha keras untuk memberi penekanan terhadap sesuatu konsep, dan dalam masa yang sama ingin mengekalkan nilai estetik dalam karyanya.

Penerang Kegelapan

Walaupun lilin mempunyai pelbagai kegunaan termasuklah dalam bidang seni seperti tarian lilin dan perusahaan batik, atau dalam bidang perubatan tradisional, tetapi secara umumnya kita lebih kerap mengaitkan lilin dengan fungsinya sebagai penerang kegelapan. Guru juga demikian. Antara tugas utama seseorang guru adalah untuk menurunkan cahaya ilmunya supaya murid-murid dapat mengamalkan ilmu itu dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan ilmu yang diturunkan itu, guru sebenarnya bertindak sebagai ’penyuluh’ jalan bagi muridnya ke arah kehidupan yang lebih baik, berkemungkinan lebih baik daripada guru itu sendiri. Suatu waktu nanti murid itu bakal menjadi doktor, peguam, ahli sains ataupun perdana menteri barangkali, manakala gurunya dahulu tetap menjadi guru biasa sehingga akhir hayat beliau.

Bersih dan Ikhlas

Lilin juga dalam keadaan asalnya adalah cecair yang jernih dan apabila membeku semula akan bertukar warna menjadi putih (kita ketepikan dahulu variasi lilin pelbagai warna pada zaman serba maju ini). Seperti lilin itu, guru sejati juga jernih hatinya dan ikhlas pula menyampaikan ilmunya, putih bersih niatnya tanpa mengharapkan ganjaran selain apa-apa yang berhak diterimanya sebagai sumber rezeki yang halal.

Cahaya Kebaikan

Kebanyakan masyarakat pula, sering mengaitkan sumber cahaya dengan kebaikan. Ada kaum yang merayakan ’Hari Cahaya’ sebagai tanda kejayaan kebaikan mengalahkan kejahatan, atau kebijaksanaan mengalahkan kejahilan. Kebanyakan kaum di negara kita kerap dilihat menceriakan rumah mereka dengan sesuatu yang bercahaya seperti lilin atau lampu apabila menyambut sesuatu perayaan.

Umat Islam pula menggunakan perkataan ’nur’ yang bermaksud ’cahaya’ dalam ungkapan seperti ’Nur Illahi’, ’Nur-ul-iman’, ’Cahaya Keinsafan’, ’Wajah Yang Bercahaya’ dan sebagainya, untuk memberikan gambaran tentang kebaikan, kebesaran dan kemurnian sehingga ramai juga nama umat Islam yang bermula dengan perkataan ’NUR’. Hanya seseorang yang tidak sensitif sahaja yang akan mengasosiasikan cahaya dengan sesuatu yang bersifat negatif seperti dalam ungkapan ’Cahaya Kejahatan’ sehingga dalam kesusasteraan sekalipun, kita sukar menerima ungkapan seperti itu sebagai unsur paradoks yang puitis.

Oleh itu, sifat lilin yang bercahaya itu samalah dengan sifat yang ada pada guru sebagai golongan yang membawa kebaikan dan penyuluh jalan kesempurnaan sama ada melalui kata-kata mahupun tingkahlakunya yang memaparkan segala macam nilai kebaikan seperti kerajinan, bertanggungjawab, cinta akan ilmu, perihatin, penyayang, tidak mementingkan diri, rasional, sabar, sanggup berkorban, dan banyak lagi. Nilai-nilai yang diajarkan itu sama ada secara langsung atau tidak langsung diharap akan diamalkan oleh murid-muridnya sehingga jadilah mereka manusia yang baik, mulia atau sekurang-kurangnya lebih baik sedikit daripada keadaan sebelum mereka menerima ajaran dan didikan daripada seorang guru. Berdasarkan sifat dan beberapa ciri positif yang terdapat pada lilin seperti yang saya bicarakan di atas itulah, maka masyarakat umum menerima lilin atau apa sahaja yang memberi cahaya sebagai simbol manusia yang bergelar guru.

Walau bagaimanapun, saya mengajak juga pembaca yang budiman sekalian untuk meneliti beberapa sifat negatif lilin itu sendiri yang dianggap bercanggah dengan hakikat seseorang guru sejati. Inilah yang sering pula ditimbulkan oleh para intelektual zaman ini, dengan tujuan apa? Mungkin untuk meningkatkan martabat guru barangkali. Atau sekadar untuk mencari suatu kelainan dalam kajian mereka supaya pendapat mereka diterimapakai pada zaman ini. Walau apapun, fikirkan situasi di bawah ini:

1. Lilin hanya mampu memberi cahaya dalam jangkamasa yang singkat.

Huraian : Segala ilmu dan nilai kebaikan yang dicurahkan tidak akan hilang bersama perginya seorang guru. Seseorang murid yang telah diterangi oleh cahaya kebaikan akan terus menyinar walaupun gurunya telah tiada kerana ilmu itu bermanfaat kepadanya. Lilin yang akhirnya padam dirujuk kepada guru yang akhirnya akan kembali kepada penciptanya iaitu kembali ke Rahmatullah. Sementara ilmu yang telah dicurahkan oleh guru itu tetap menyala dan bersinar, malah akan diperturunkan pula kepada insan lain, zaman berzaman, bertambah baik, bertambah terang. Seseorang guru sejati akan meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang lebih baik berbanding dengan keadaan semasa beliau masih hidup.

2. Lilin semakin mengurang ketika membakar dirinya.

Huraian : Melihat sifat lilin yang semakin mengurang ketika ’menjalankan tugasnya’ menyebabkan sesetengah pihak beranggapan itu bukan sifat guru sejati yang mana memang dipersetujui bahawa antara sifat istimewa seorang guru sejati ialah peningkatan ilmu dalam dirinya sendiri setiap kali guru itu menurunkan ilmunya kepada orang lain. Sifat lilin yang semakin mengurang ketika memberi cahaya itu sebenarnya bermaksud guru itu semakin berkurang hayatnya tetapi tetap tidak jemu menurunkan ilmu yang ada pada dirinya. Sekiranya seorang guru sejati itu memiliki sepuluh ilmu lalu diperturunkan semua ilmunya kepada muridnya dengan ikhlas, maka guru itu akan mendapat pula ilmu yang kesebelas, begitulah seterusnya. Keadaan ini mungkin suatu ironi, tetapi itulah hakikat ilmu yang dimiliki oleh seseorang guru sejati. Ilmunya tidak pernah susut walaupun setelah bertahun-tahun tercurah kepada muridnya, sebaliknya akan bertambah.

3. Lilin yang sedang membakar diri bersifat panas.

Huraian : Sesuatu yang membakar diri seperti lilin di anggap bersifat panas, sementara guru yang dihormati memiliki penampilan diri yang sejuk mata memandang. Lilin yang panas ini membawa maksud guru itu sendiri sentiasa bersemangat, jiwanya sentiasa hangat untuk mencurahkan ilmu dengan pelbagai kaedah dan pendekatan bagi memastikan murid-muridnya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Cuba bayangkan sekiranya seseorang guru itu bersikap dingin, acuh tak acuh dalam menjalankan tugas yang diamanahkan itu. Apa akan berlaku kepada murid-muridnya?

4. Api lilin merbahaya.

Huraian : Anak-anak kecil dilarang mendekati api lilin bimbang tercedera. Orang tua-tua juga berpesan, ”Jangan bermain api nanti membakar diri”. Dalam hal ini, nasib lilin nampaknya lebih baik daripada guru. Walau bagaimanapun, bukankah kelalaian manusia itu sendiri yang menyebabkan api itu membahayakan diri? Kita perlu menghampiri api lilin untuk mendapat cahaya yang lebih terang. Ibarat murid dan guru yang saling menghampiri untuk lebih rapat dan mesra. Guru mendekati murid untuk menyelami perasaan murid dan memantau segala masalah yang dihadapi oleh muridnya. Manakala murid mendekati guru tanpa rasa segan dan takut untuk bertanya apa yang tidak mereka fahami. Jika murid dan guru tidak saling memahami dan menyayangi, maka itu yang kerap kita dengar peristiwa murid membenci dan berdendam pada gurunya. Malahan ada kalanya seluruh masyarakat turut mengecam guru tanpa usul periksa selepas pihak media menyiarkan sesuatu berita yang tidak enak didengar. Keluhan ’mangsa’ sahaja yang sering disiarkan tanpa memberi peluang kepada guru untuk menjelaskan keadaan sebenar. Lilin juga yang disalahkan selepas apinya memberikan cahaya. Mengapa ya?

Pembaca yang budiman, saya telah menghuraikan empat kekeliruan tentang sifat lilin yang dianggap negatif ini. Bolehkah kalian yang bijak bestari ini menghuraikan pula tiga lagi sifat negatif di bawah? Saya berikan tugasan ini pada pembaca sekalian sebagai ’homework’!

1. Api lilin yang goyah apabilan ditiup bayu malah mudah padam apabila angin kencang. Kaitkan dengan sifat guru yang tegas dan penuh yakin dalam bidang ilmu yang diajarkan.

2. Lilin itu kotor. Asapnya berjelaga. Kaitkan ini dengan sifat guru tulen yang sangat prihatin tentang kebersihan dirinya sama ada dari segi luaran atau dalaman.

3. Lilin atau yang seumpamanya itu digunakan pada waktu malam sahaja untuk mendapatkan cahayanya. Kaitkan situasi ini dengan keadaan guru yang sentiasa diperlukan khidmatnya tidak kira siang atau malam. Kacang lupakan kulitkah ini?

Saya serahkan kepada pembaca untuk membuat penilaian sendiri menurut pengalaman masing-masing.

Epilog
Guru sudah lama wujud, masih wujud, dan akan terus wujud sebagai golongan profesional dalam dunia pendidikan. Amat sukar untuk dibayangkan bagaimana keadaan di dunia ini tanpa guru. Sekiranya ’malapetaka’ ini terjadi, dunia akan menyaksikan banyak orang yang memiliki tubuh seperti manusia tetapi bersifat seperti haiwan, dan berkelakuan seperti binatang.

Tiada dahulu, tiadalah sekarang;
Tiada guru, tiadalah ’orang’

Sekian, wAllahu’alam.. bissawab.

Dipetik daripada blog RHEA SCARLET untuk dikongsi bersama.

Post a Comment

0 Comments