Ad Code

Responsive Advertisement

Haji Mohd Diah Haji Abdul Rahman

 


Haji Mohd Diah Haji Abdul Rahman, Pemimpin Pengakap & Tokoh Guru Johor & Kebangsaan
Nama Cikgu Mohd Diah, tidak asing bagi penduduk Batu Pahat, terutamanya di kalangan ahli-ahli Pengakap dan bidang perguruan.
Beliau yang dilahirkan pada tahun 1914, merupakan anak kelahiran Kampung Parit Kemang, Senggarang, Batu Pahat.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Parit Kemang. Sewaktu berusia 15 tahun, telah menjadi guru 'bakal pelatih' di Sekolah Melayu Koris, Senggarang. Setahun kemudian, beliau lulus dan menjadi 'guru pelatih' di sekolah yang sama pada tahun 1930.
Tahun berikutnya, beliau berjaya mendapat tempat di Sultan Idris Training College, Tanjung Malim dan lulus pada tahun 1934. Seorang yang aktif semasa di SITC, menyertai Malayan Volunteer Infantry serta antara pemidato terbaik di SITC.
Sejurus tamat pengajian di SITC, beliau diarahkan memulakan tugas di Sekolah Melayu Parit Kemang. Selain menjadi guru, beliau juga aktif di dalam Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (PbMPBD), Kesatuan Guru Melayu Batu Pahat dan Johor Volunteer Force.
Sebelum menjadi Guru Besar di Sekolah Melayu Senggarang, Cikgu Mohd Diah juga pernah bertugas di Sekolah Melayu Bandar Tinggi. Pada tahun 1958, beliau dinaikkan pangkat menjadi Guru Pelawat bagi kawasan Bagan dan Bandar Penggaram. Selepas itu beliau bertugas pula menjadi Penolong Pengelola Sekolah-sekolah Daerah Batu Pahat sehingga tahun 1969.
Cikgu Mohd Diah juga merupakan antara perintis penubuhan Pergerakan Pengakap Batu Pahat sewaktu Inche (Dato) Syed Esa, menjadi Penolong Nazir Sekolah-sekolah Daerah Batu Pahat.
Beliau bersama Dato’ Syed Esa, Cikgu Baba bin Othman, Dato’ Bidin Login, Cikgu Shuib Ismail, dan beberapa orang pemimpin pengakap yang lain, telah membuka Kem Jubli Intan, Tanjung Labuh pada tahun 1954.

Keaktifan dan kegigihan Cikgu Mohd Diah yang berterusan, menyebabkan beliau dilantik menjadi Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor pada tahun 1961 dan bertanggungjawab sebagai Camp Chief Tanjung Labuh.
Keaktifan Cikgu Mohd Diah tidak terhad kepada bidang pendidikan semata-mata. Beliau juga terlibat dengan kegiatan untuk meningkatkan ekonomi orang-orang Melayu walaupun secara kecil-kecilan. Beliau merupakan salah seorang pengasas Syarikat Bekerjasama Kakitangan Kerajaan Batu Pahat dan Syarikat Kerjasama Kampung Satay Batu Pahat.
Cikgu Mohd Diah juga sempat menulis di akhbar-akhbar dan mengarang beberapa buah buku, antaranya ialah Cermin Nasihat (1959), Panduan Agama (1960), Syair Kisah Diperanakkan Nabi Muhammad (1964) dan Buku Pekerti.
Pada tahun 1979, Cikgu Mohd Diah telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Batu Pahat dan Tokoh Guru Negeri Johor. Setahun kemudian, beliau juga telah dianugerahkan Tokoh Guru Kebangsaan.
Pada April 1995, Cikgu Mohd Diah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir semasa usianya 81 tahun. Sumbangannya dalam pendidikan, ekonomi, sastera, masyarakat dan politik setempat, sememangnya tiada tolok bandingan.









Post a Comment

0 Comments